Click to play

Sorry,
No shoutbox is available for the moment.
Please be patient and bare with us.
Thank you.

Oct 20, 2011

Tiada Sokongan



Tengah hari tadi saya telah berjumpa dengan En. Azman untuk membincangkan costing untuk projek pertanian baru kami nanti. Siapa En. Azman dan apa projek baru kami? Akan saya ceritakan kemudian.

Apa yang saya terkilan, malam tadi sewaktu bertemu dengan En. Din, ketua JKKK saya ada menyatakan hasrat untuk mengusahakan projek terbaru kami. Daripada feedback yang saya dapat, beliau seolah-olah tidak menyokong kami untuk mengusahakan projek tersebut. Katanya, pertanian bukanlah satu sumber pendapatan yang sangat menguntungkan.

"Alang-alang dah jejak kaki ke dalam industri minyak dan gas, buat apa nak terjun ke bidang lain?"

Bagi saya, tanpa pertanian golongan elit seperti mereka-mereka yang bekerja dalam industri minyak dan gas nak makan apa? Bila Thailand dilanda banjir besar. Harga cili, beras dan lain-lain naik mendadak. Siapa yang merungut? Petani-petani hanya senyum lebar memerhati dari jauh gelagat orang-orang yang hanya memandang lekeh industri pertanian ni. Terkadang saya terfikir, ada bagus juga Thailand dilanda banjir. Sekurang-kurangnya rakyat Malaysia sedar akan kepentingan pertanian ni. Asyik kejar kerja di pejabat.. di dalam bilik berpenghawa dingin. Habis siapa lagi yang akan menyambung legasi pertanian suatu hari nanti?

Saya akui, industri minyak dan gas sangat menguntungkan. Tetapi, berapa ramai player-player yang sudah lama bertapak di dalam industri tersebut. Mereka ini umpama buaya-buaya yang 'makan besar' jika hendak dibandingkan dengan kami yang seumpama ikan bilis hanya mendapat sisa-sisa makanan daripada mereka.

Tetapi di dalam pertanian, jika kita mempunyai 'akal' dan rajin, insya Allah pendapatan kita setiap tahun mampu mengalahkan pendapatan yang diperolehi oleh usahawan-usahawan di dalam industri minyak dan gas.

Namun, semua itu bukan penghalang bagi saya untuk meneruskan projek kami ini. Baru sedikit 'hasutan' yang diterima. Saya tidak seharusnya menyerah diri begitu sahaja. Tak apa, kita lihat suatu hari nanti. Saya akan buktikan kepada ketua JKKK itu yang kata-katanya hanyalah cakap kosong sahaja. Tunggu...!

Oct 19, 2011

Logo Baru Gandingan Ilham



Setelah sekian lama menggunakan logo lama yang saya sendiri sudah lupa di mana letaknya softcopy logo tersebut, kini Gandingan Ilham telah tampil dengan logo baru.

GANDINGAN ILHAM GROUP OF COMPANIES

Harapan kami, dengan adanya logo baru ini, syarikat akan terus maju ke hadapan dalam menerajui ekonomi tempatan khususnya di negeri Terengganu.

Dikesempatan ini juga saya turut berbesar hati mengumumkan, Gandingan Ilham Enterprise (GIE) akan kami tukarkan kepada Gandingan Ilham Group of Companies (GIGS) tidak lama lagi. Kepada mereka yang belum mengetahui kaitan diantara BB Peladang dan GIGC, tunggu sehingga laman sesawang rasmi GIGC dilancarkan.

Buat masa sekarang, GIGC hanya menumpang di blog BB Peladang. Semoga dengan kehadiran logo dan branding baru GIGC ini dapat memeriahkan lagi dunia keusahawanan di Malaysia selaras dengan seruan Perdana Menteri kita, insya Allah.

Oct 17, 2011

Lesen PBT



Alhamdulillah, Allah S.W.T permudahkan urusan kami pada hari ini untuk mendapatkan lesen daripada Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).

Satu ujian telah ditempuhi, kini ujian yang seterusnya pula, Lesen Runcit Beras dan Lesen Runcit Barang Kawalan. Harap-harap pemilik bangunan dapat beri kerjasama kepada kami supaya usaha kami tidak sia-sia.

Ya Allah, Engkau permudahkanlah segala urusan kami. Ampunkan segala dosa-dosa kami. Kami memohon petunjuk Mu Ya Allah Ya Rahman Ya Rahim. Kami hanya hamba Mu yang lemah dan sering alpa dalam mengingati Mu Ya Allah.

Oct 16, 2011

Rasa Terkilan



Maaf, saya cuma ingin meluahkan perasaan saya di sini. Hari ni saya rasa terkilan kerana ada sesetengah pihak terutamanya badan kerajaan yang tidak mahu melayan usahawan muda seperti kami ni.

Samada mereka mempunyai kroni atau mereka mementingkan diri, itu saya tidak pasti. Tetapi, alhamdulillah setakat ini Jabatan Pertanian dan juga FAMA masih lagi memberikan khidmat nasihat dan juga perkhidmatan yang sangat berkesan.

Cuma ada badan-badan kerajaan yang sesetengahnya hanya melayan pengusaha-pengusaha yang mereka kenali sahaja. Tak apa, ada ubi ada batas, suatu hari nanti Allah akan balas.

Kepada pengusaha-pengusaha yang terlibat dalam sektor pertanian dan penternakan yang mempunyai masalah sama seperti kami, boleh tinggalkan komen anda di sini. Sekian, terima kasih.

Yang kecewa,
Mat Kadiaq

Oct 14, 2011

Membekal Diesel Industri



Di bawah syarikat Gandingan Ilham Enterprise, kami juga membekal diesel gred A bagi kegunaan industri.

Bagi sesiapa yang berminat untuk mengetahui harga, sila hubungi 013-982 9884 atau 019-911 8486.

Minimum order 50,000 liter.

Sent from my BlackBerry® wireless device via Celcom-Axiata Mobile.

Penghasilan Santan Kelapa



Alhamdulillah, unjuran kewangan untuk syarikat kami memulakan perniagaan santan kelapa telah siap dirangka. Bekalan kelapa sebanyak 5200 biji sebulan telah kami dapat. Cuma hitam putihnya sahaja belum siap. Insya Allah minggu depan akan melawat ke kedai baru kami di Teluk Kalung. Dengan sewa RM200 sebulan, dapatlah kami bertapak di situ buat sementara waktu.

Jika diimbal, 5200 biji kelapa mampu menghasilkan 50kg santan sehari. Harga pasaran santan di Kemaman, Terengganu adalah sekitar RM7-8.00/kg. Kami masih lagi sedang berkira-kira dalam meletakkan harga jualan kami. Insya Allah harga yang terendah akan kami letak sekiranya masih ada keuntungan walaupun sedikit kerana niat kami berniaga adalah kerana Allah SWT bukan dengan niat untuk menjadi kaya raya.

Untuk mesin pula, kami sudah menjumpai individu yang ingin menjual 2 buah mesin memproses santannya dengan harga RM3000 untuk keduanya. Syukur ke hadrat Ilahi kerana kami tidak perlu untuk membeli mesin baru yang harganya hampir mencecah belasan ribu ringgit. Untuk beroperasi, kami akan mencari seorang pekerja lelaki (anak muda tempatan diutamakan) dengan gaji sekitar RM800/bulan. Kelulusan tidak perlu, cukup sekadar ringan tulang dan jujur.

Misi BB Peladang kali ini adalah untuk menjadi sebuah organisasi yang menjalankan satu aktiviti pertanian yang berteraskan kelapa di kawasan pantai timur. Doakan kejayaan kami. :)

Oct 11, 2011

Harga Kelapa



Sebut harga yang kami dapat setakat ini ialah RM1.00/biji termasuk pengangkutan ke Kemaman, Terengganu.

Jika anda dapat menawarkan harga yang lebih rendah, sila tinggalkan nombor telefon anda di ruangan komen supaya kami boleh menghubungi anda.

Sekian, terima kasih.

Oct 10, 2011

Bekalan Kelapa



Kepada pengusaha kelapa, kami ingin mendapatkan bekalan anda. Sila hubungi kami di talian 013-982 9884 untuk membincangkan harga.

Bekalan yang kami perlukan adalah sekitar 5,000 biji sebulan. Terma bayaran adalah cash-on-delivery. Harga haruslah lengkap dengan kos penghantaran ke Kemaman, Terengganu.

Jika anda seorang pengusaha kelapa, hubungi kami. Terima kasih di atas kesudian anda untuk bekerjasama dengan kami

Sent from my BlackBerry® wireless device via Celcom-Axiata Mobile.

Oct 9, 2011

Tips Pertanian dan Penternakan (Part 2)



Sambungan dari Part 1.

Rancang Perniagaan
Rancang perniagaan anda dengan betul. Pastikan anda membuat unjuran keluar masuk duit modal pusingan setiap bulan. Ini bagi memastikan anda dapat mengetahui untung rugi yang bakal diperolehi.

Pembekal
Hal ini harus dititikberatkan supaya anda dapat mengira perbelanjaan untuk membeli baja/pallet. Jika anda tiada pembekal yang mampu membekal baja/pallet dalam kapasiti yang besar, maka margin keuntungan/kerugian anda juga besar. Pastikan pembekal anda mampu membekal setiap keperluan anda. Bagi saya, satu pembekal adalah lebih baik daripada mendapatkan bekalan daripada ramai pembekal. Di sini, masa anda dapat dijimatkan hampir 100%. Gunakan perkhidmatan daripada jabatan-jabatan yang terlibat terutamanya perkhidmatan pengangkutan untuk mendapatkan bekalan.

Khidmat Nasihat
Anda harus mempunyai komunikasi yang baik dengan pegawai-pegawai di dalam agensi kerajaan di mana mereka dapat membantu dan memantau hasil pertanian/penternakan anda. Ianya penting untuk mendapatkan hasil yang hampir sempurna kerana khidmat nasihat mereka adalah berdasarkan pengalaman pengusaha-pengusaha yang lain. Ini juga dapat membantu anda untuk mencari pasaran eksport jika hasil anda adalah dari kategori yang eksotik.

Kajian
Aspek ini juga amat penting bagi anda melakukan penambahbaikkan. Dari semasa ke semasa, setiap kajian anda itu haruslah dicatatkan di dalam sebuah buku log supaya ianya dapat dipraktikkan dalam musim yang seterusnya. Lakukan kajian dari segi baja, sumber makanan, dan juga pasaran.

Modal
Harus diingat bahawa modal adalah faktor yang kedua terpenting. Pastikan modal yang anda ada mampu untuk menggerakkan aktiviti anda bagi tempoh 6 bulan. Ini adalah berdasarkan pengalaman saya sendiri.

Semua yang dinyatakan di atas adalah merupakan hasil daripada kajian dan penyelidikan saya sendiri. Ia juga merupakan pengalaman saya di dalam bidang pertanian/penternakan ini. Di harap artikel ini sedikit sebanyak dapat membantu anda untuk memulakan perniagaan di dalam sektor pertanian dan penternakan.

Jika anda mempunyai sebarang pertanyaan, boleh hantarkan email kepada saya di nashrulsabri[at]gmail.com atau tinggalkan komen di sini. Insya Allah saya akan cuba menjawab sebaik yang mungkin. Mana yang baik datangnya dari Allah, yang buruk itu datang dari kekhilafan diri saya sendiri.

Sekian, terima kasih.

Nashrul Sabri